Friday 24 February 2012

Dialog Dengan Orang Bercinta

Aku bosan. Entah apalah sampahnya tulisan cinta sesetengah orang. Tidak berpijak pada realiti. Bermain kata untuk menyedapkan hati. Ada kawanku, bersungguh-sungguh mempercayai tulisan-tulisan berbunga seperti itu. Dia tidak bercinta, seperti aku. Apa yang dia tahu?
Jadi, engkau sedang bercinta?
Ya. Dan cintaku tidak hipokrit. Antara aku dan dia, tiada siapa yang boleh memisahkan. Hati kami telah bertaut rapat, sekian lama. (Tersenyum, dengan hati berbunga-bunga)
Engkau tidak takut dengan bahayanya cinta? Sudah ramai teman-teman hawamu rosak sebelum masanya. Semuanya kerana cinta.
Oh come on lah. Inilah jenis orang yang membaca pelbagai tulisan sampah tentang cinta. Bertazkirah cinta, konon! Tidak lebih sekadar hipokrasi dan prejudis semata-mata. Perempuan-perempuan yang rosak itu, mereka tidak tahu makna cinta, faham?
Jadi, engkau tahu makna cinta?
(Tergelak) Sudah tentulah aku tahu, tapi aku tak pandai mengungkapkan dengan kata-kata. Tapi aku suka dengar banyak lagu yang sangat hebat mentafsirkan gelora jiwaku saban waktu dan ketika. Ah, ia suatu perasaan yang sangat hebat, sukar dijelaskan, tapi ada. (Tersenyum panjang).
Adakah engkau maksudkan cinta itu sekadar satu perasaan? Umpama seorang yang sering terbang ke awanan?
Ya. Lebih kurang begitulah. Tapi cinta itu suci. Cinta itu bersih. Aku dan kekasihku sangat memahami dan menjiwainya. Cinta kami tiada anasir kotor. Jangan engkau fikir aku seperti perempuan-perempuan yang engkau maksudkan. Meskipun kami seringkali berdua ke mana sahaja, tetapi kami tahu menjaga batas. Kami masih ada agama. (Wajahnya sungguh yakin).
( Giliran aku tersenyum ) Betul, engkau dan dia memang manusia baik. Tidak rugi aku berbicara dengan manusia yang baik dan punyai hati yang baik. Begitu juga dengan kekasih engkau, juga manusia yang baik.
Habis, masihkah engkau mahu berkata itu dan ini, konon mahu mengajar aku cara bercinta?
Iya. Kerana engkau dan dia adalah manusia baik, maka aku lantunkan kalimah-kalimah ini ke telingamu. Manusia baik, punya pendengaran yang baik, dan kata-kata yang baik, insyaAllah juga akan masuk ke dalam hati yang baik.
Aku tak faham.
Hm. Izinkan aku bertanya. Apa beza hidupmu sebelum dan selepas engkau dan dia bercinta?
Sudah tentu banyak bezanya. Sebelum itu, hidup aku hanya dengan pelajaran dan keluarga. Ibu dan ayah. Tapi kini, aku rasakan hidup aku lebih banyak warna. Semuanya kerana kehadiran dia. Wajahnya, kata-katanya, gurauannya, sentuhan tangannya, semua membuatkan aku rasa dunia ini sungguh bahagia (Senyum).
Engkau mahu cintamu bertahan sampai bila?
Sampai ke Syurga! Jangan engkau silap menilai diriku. Salah satu impianku adalah menjadi isteri yang solehah dan ibu mithali kepada anak-anakku nanti. Dan aku bersyukur, dikurniakan kekasih yang punya ciri-ciri bakal suami dan bakal bapa yang cukup baik.
Alhamdulillah. Aku tumpang bergembira dengan impianmu itu. Tapi aku sekadar mahu pastikan, adakah engkau tahu semua impian itu perlu kepada proses pembinaan?
Aku tahu.
Dan, proses pembinaan itu bermula sebelum berkahwin lagi?
Tahu. Kerna itu aku tidak tinggal solat. Kadang-kadang ketika kami berjumpa, kami bincang tentang masa depan.
Engkau punya musuh?
Tidak. Aku bukan seorang yang gemar bermusuh. Dia juga begitu. Mengapa begitu ganjil soalan engkau?
( Senyum ) Benarlah engkau dan dia manusia baik. Tetapi ada satu musuh yang ingin aku perkenalkan, dan engkau perlu terima hakikat bahawa dia adalah musuh. Namanya Syaitan. Surat perjanjiannya dengan Tuhan untuk menyesatkan keturunan Adam masih tersimpan kemas dalam Al-Quran. Dan engkau, setiap kali bertemu dengan kekasih engkau, Syaitan itu akan ikut bersama.
Mana engkau tahu?
Nabi kita, Muhammad Sollallahu ‘Alaihi Wasallam yang khabarkan. Katanya, tidak berdua-duaan mana-mana lelaki dan perempuan yang bukan mahram, melainkan Syaitan adalah yang ketiga. Engkau tidak nampak Syaitan, tapi dia ada. Engkau percaya dengan kata-kata Nabi kita, bukan?
( Terdiam )
Oklah. Biarkan dulu tentang itu. Berbalik tentang cinta. Engkau benar-benar sayangkan kekasih engkau?
Of course aku sayang. Bahkan setiap hari, sayangku bertambah-tambah. Kerna itu aku benci bila ada orang melarangku dari perasaan ini.
( Senyum ). Aku juga fikir mereka tidak patut melarang engkau dari perasaan itu. InsyaAllah aku tidak akan larang. Tetapi aku mahu bertanya, adakah boleh dikatakan seseorang itu benar-benar sayang jika dia tergamak mencampakkan kekasihnya ke dalam salah satu gaung dari gaung-gaung neraka?
Ngeri betul aku dengar. Kan sayang itu ertinya memiliki, kenapa pula mahu dicampak-campak.
Engkau mungkin tidak mencampak kekasihmu ke dalam neraka, tetapi engkau sedang menghantarnya ke pintu neraka tanpa engkau sedar.
Pardon?
Adakah engkau biarkan tanganmu disentuh oleh semua lelaki?
Tidak, hanya dia.
Sebabnya, engkau yakin dengan kuasa cinta, bukan? Engkau percaya sentuhan itu adalah kerana cinta, bukan nafsu bukan?
( Mengangguk )
Tetapi hakikatnya, sentuhan itu mendatangkan ransangan pada lelaki. Aku yakin engkau tahu fakta tersebut. Sama sahaja dengan perasaan cinta ataupun tidak. Syaitan tidak pernah leka dari kerjanya. Engkau boleh mengakui perkara ini dengan kejujuranmu.
( Terdiam )
Apabila engkau membiarkan dia menyentuh tanganmu, maka berlakulah dosa. Semakin kerap engkau berdua-duaan, semakin banyak menabung dosa. Akhirnya, engkau seolah membantu dia untuk terjun ke neraka.
( Mengeluh ) Dia pernah timbulkan tentang itu. Tetapi aku elakkan dari bercakap tentang itu. Aku katakan, itu normal bagi mereka yang bercinta.
Di barat, normal saja tidur sekatil dalam tempoh bercinta.
Itu keterlaluan. Kita masih ada agama. Itu tidak normal dalam masyarakat kita.
Itu silapnya engkau meletakkan sempadan normal pada lokaliti. Barat berpendapat tidur sekatil itu normal, engkau berpendapat pegang tangan itu normal. Sedangkan Al-Quran dan Hadith mengatakan kedua-duanya tidak normal, dengan hujah dan alasan yang lebih kukuh. Mana yang mahu engkau ikut?
( Terdiam )
Engkau katakan cinta itu suci dan bersih. Tetapi aku lihat, ia berkalut dengan kezaliman.
Siapa yang zalim?
Zalim itu bukan hanya membunuh atau menyakiti seseorang. Tetapi juga dikira zalim apabila engkau membiarkan dia bertarung dengan keimanannya setiap kali engkau dan dia berjumpa. Engkau tahu kan, iman manusia ada naik turunnya? Adakah engkau kira dia selama-lamanya mampu menahan nafsunya setiap kali bersentuhan dan berduaan? Dan kiranya dia kalah, engkau juga dikira zalim kerana membantunya untuk kalah.
Tapi, aku sangat mencintainya.
Sudah aku katakan, aku tidak menghalang perasaanmu. Tetapi aku mahu mengajakmu masuk ke dalam zon yang selamat. Tinggalkan zon merbahaya yang sedang engkau dan dia duduki sekarang.
Bagaimana caranya?
Segerakan berkahwin. Itu bukti cinta sejati.
Mudahnya engkau membuat kesimpulan. Apakah cinta itu hanya terbukti dengan berkahwin?
Iya. Cuba engkau fikirkan. Cinta sejati tentulah mahu memiliki sampai mati, bukan? Dan tidak ada ikatan lain yang boleh menghalang orang lain dari memiliki apa yang dia miliki, melainkan dengan perkahwinan. Kalau dah jadi isteri, tiada siapa boleh sunting perempuan itu lagi. Itu kan bukti sebenar memiliki?
( Termenung panjang )
Seseorang yang berdegar-degar bercakap tentang cinta sejati tetapi langsung tidak mahu menyentuh bab perkahwinan secara serius, dialah sebenarnya manusia yang paling hipokrit. Justeru itu, muncul tulisan-tulisan cinta yang engkau ibaratkan sebagai sampah. Namun sampah itulah yang banyak menyedarkan kaummu duhai hawa.
Aku tak sanggup kehilangan dia, tetapi aku juga berbelah bagi dengan apa yang kami lakukan.
Cinta itu suci, engkau cuma perlu kembalikan kedudukan itu ke tempatnya yang sebenar. Jangan kau cemari dengan perilaku maksiat. Perasaanmu, tiada siapa yang halang. Tetapi awasi apa yang engkau dan dia buat, kerana setiap satu kesilapan boleh menghancurkan kebahagiaanmu di masa hadapan.
Nantilah aku fikirkan. Anyway, hidayah milik Allah kan?
Yup. Hidayah itu milik Allah, tetapi kita sebagai manusia kenalah berusaha untuk mendapatkan hidayah tersebut :)

Sekian.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang Ads