INDAHNYA cinta jika bersulam
keikhlasan. moleknya cinta andai setia yang dipertaruhkan dan untungnya
bercinta jika berkekalan sampai bila-bila. Namun panas yang diharapkan sampai
ke petang, siapa sangka hujan turun ditengah hari. Puas sudah membajai cinta,
dibumbui dengan kasih dan sayang, membelai dan memupuknya dengan penuh
tanggungjawab namun pasangan yang bertakhta di sanubari tetap berubah hati.
Terlalu sukarkah mencintai isteri atau sememangnya si suami tidak pernah
mensyukuri?
Datuk Ustaz Ismail Kamus
membincangkan: "Perempuan umpama cermin, mesti cermat dan halus bila
berhadapan dengan mereka. Lebih-lebih yang bergelar isteri. Sensitif, cepat
kecil hati, merajuk dan minta dipujuk memang sifat wanita. Sebenarnya bukan
susah melayan isteri"
Seorang suami yang pandai mengambil
hati, memujuk rayu jika diperlukan, bercakap lemah lembut dan rajin bergurau
senda, ia sudah cukup dan memadai. Perhatikan hasilnya, si isteri akan sanggup
bersusah payah menyediakan makan dan minum di samping menguruskan rumah tangga,
malah sanggup pula ke hulu ke hilir menambah pendapatan suami. Walaupun hidup
dalam serba kekurangan, insya-Allah hidup pasangan begini akan rukun damai
sampai bila-bila.
Bagaimanapun hal ini merujuk kepada
wanita yang melimpah ruah dengan kasih dan sayang. Mengutamakan rumah tangga
dan berusaha menceriakannya walaupun si suami bukan berpangkat besar atau
mempunyai wang yang banyak. Apabila ditujukan kepada wanita yang memegang
prinsip, ada wang abang sayang, tak ada duit abang melayang lain pula
penyudahnya. Jika yang dicintai itu adalah wang, yang disayang itu adalah
kemewahan, memang rumah tangga tidak bahagia dan aman. Kerana yang diburu
adalah wang dan harta, maka bila ada kedua-duanya di depan mata, si isteri akan
berasa nikmat kebahagiaan namun bila semuanya melayang, wanita begini akan
berasa terlalu kecewa dan bersusah hati, ujarnya.
Beliau menambah, "Bagaimanapun
kalau dikatakan, peranan wang membeli kasih dan sayang, ia memang berkait
antara satu dengan yang lain. Namun wang itu sekadar dijadikan sebagai alat dan
bukan matlamat. Wang berperanan menyenangkan pasangan membina rumah tangga.
Mendapatkan sebuah rumah untuk keluarga, memiliki kenderaan dan apabila berlaku
sebarang bencana, wang dapat merungkai masalah yang melingkari. Jika
mengandaikan wang untuk membeli cinta dan mengeratkan kasih dan sayang,
tandanya kita sudah tersilap menafsir. Sepatutnya utamakan nilai kasih dan
sayang yang diberikan oleh suami atau isteri, justeru andai suatu hari kita
ditimpa musibah dan hidup dalam serba kekurangan, tidaklah cepat melatah.
Cuba perhatikan mereka yang tinggal
di kampung. Ada pasangan yang hidup melarat dan menderita kerana tidak
mempunyai wang yang banyak, namun ikatan kekeluargaan erat dan sendat dengan
kasih dan sayang," jelasnya. Beliau tidak menafikan, wanita sekarang lebih
ramai yang celik mata dan sedar tentang perlunya membelai cinta sampai ke tua,
sedangkan lelaki asal ada orang yang menguruskan rumah tangga sudah memadai.
Golongan begini, malas hendak memupuk atau membajainya walaupun mereka mampu
melakukan.
Wanita ketara sudah celik mata. Ini
dapat diperhatikan dalam ceramah atau syarahan. Mereka lebih banyak jika
dibandingkan dengan kaum Adam. Sekiranya intipati ceramah mengenai pasangan,
pihak si isteri akan mudah terima dan berusaha berubah apatah lagi jika kena
dengan cara dan pendekatan yang betul. Sebaliknya si lelaki yang turut
mendengar tetapi kurang menghayati. Jika terima pun dengan perasaan sombong dan
egonya dan memang sukar mengubah kesilapan.
WANITA -
TULANG RUSUK YANG BENGKOK
Walaupun hakikatnya bahtera rumah
tangga itu sepatutnya dikemudikan oleh si suami namun era kini menyaksikan
lebih banyak wanita yang lebih sensitif mengekalkan kerukunan. Maknanya
wanitalah yang lebih banyak bersabar, menelan pahit maung kekurangan pendapatan
atau menghadapi kerenah suami yang kadang kala membosankan. Wanita sepatutnya
berbangga dengan kejayaan ini walaupun asalnya daripada tulang rusuk kiri
lelaki yang bengkok.
Nabi bersabda, wanita itu dicipta
daripada tulang rusuk kiri lelaki yang bengkok, maknanya jika dibiarkan
sikapnya yang tidak elok, maka begitulah ia kekal selama-lamanya. Lantaran itu
andai si suami ingin memberi nasihat, hendaklah secara psikologi dan lemah
lembut sehingga yang bengkok itu akan lurus. Sebaliknya jika menggunakan
kekerasan, maka tulang yang bengkok itu akan mudah patah atau pecah. Misalnya
jika isteri pemarah, membebel dan cakap banyak, si suami anggap sahaja ia
cubaan yang amat kecil. Allah berfirman, "Apa yang kamu tidak suka, itu
adalah yang terbaik untuk kamu." Namun dengan perkembangan hari ini,
nampaknya dunia sudah terbalik, si lelaki pula nampak gayanya banyak yang
bengkok, selarnya.
CINTA
DAHULU SEBELUM KAHWIN?
Memang ramai yang membincangkan dua
perkara ini sama ada cinta dahulu sebelum berkahwin atau berkahwin dahulu baru
bercinta. Ada orang bercinta lama, selepas kahwin berasa jemu pula. Mulanya
pasangan masing-masing buat perangai. Ada pula sarankan, lepas kahwin baru
bercinta, mereka dakwa pula lepas kahwin baru pecah tembelang pasangan
masing-masing. Maknanya, tidak ada kaedah khusus, ia bergantung kepada jodoh
masing-masing, dedahnya.
Beliau menambah, "Contohnya
pasangan orang tua dahulu. Masing-masing tidak kenal tetapi keluarga aturkan
perkahwinan. Lepas kahwin kita lihat mereka kekal sampai berpuluh-puluh tahun
dan orang tua-tua dakwa cara begitu lebih baik. Sebenarnya itu bukan formula
tetapi kebetulan. Maklumlah tinggal di kampung, pergaulan bukanlah seluas atau
semoden golongan yang tinggal di bandar. Jika berlaku pergaduhan, si suami
tidak sampai hati menceraikan isteri, begitu juga si isteri jika minta cerai
pun ke mana diri hendak dibawa?" soalnya.
Sambungnya lagi, kedamaian hidup berumah
tangga mesti dicatur sejak diawal perkenalan. "Mesti diselidik latar
belakang pasanga kala peringka pemilihan pasangan. Sekiranya pihak lelaki atau
wanita mengikut kriteria yang dianjurkan oleh Islam, insya-Allah akan ada
kerukunan dalam perkahwinan. Namun jangan tersilap memilih, konon berkenan
pasangan yang kuat agamanya. Kita hendaklah memandang dengan pandangan yang
luas, bukan setakat sembahyang, puasa atau berzakat sahaja yang patut diambil
kira. Antaranya hendaklah menjurus kepada nilai peribadi seseorang. Misalnya
kesanggupan penerimaan kita kepada kerenah, gelagat atau tingkah laku pasangan.
Kadang kala perangai lelaki membosankan dan tidak kurang ada yang menyejukkan,
jika kita terima daripada awal maka redhalah sehingga akhirnya, kerana itulah
suami atau isteri kita yang sebenar-benarnya.
LEPAS
KAHWIN TERBONGKAR RAHSIA
Ditanya bagaimana mahu membelai
cinta seandainya selepas berkahwin baru terbongkar rahsia keburukan pasangan,
beliau mengulas. Memang sukar menelah kebaikan individu meskipun seseorang itu
taat kepada ibadatnya.
Pernah suatu ketika seorang lelaki
menemui Saidina Omar dan berkata, bahawa dia telah memilih seorang lelaki untuk
menjadi saksi. Lantas Saidina Omar bertanya, "Apakah engkau kenal lelaki
itu?" Pemuda itu menjawab, "Tidak ya amirul mukmimin." Saidina
Omar bertanya lagi. "Apakah engkau pernah bermusafir dengannya?"
Orang itu jawab, "Tidak pernah," Bertanya lagi Saidina Omar,
"Apakah engkau pernah berjiran dengannya? Orang itu menjawab,'Tidak
pernah.' Lantas ditanya Omar lagi, "Macam mana engkau kenal dia? Dijawab
si pemuda. "Saya selalu tengok dia sembahyang maka yakinlah dia memang
baik.' Omar berkata, "Engkau pergi dan selidiki lagi kerana engkau
sebenarnya belum betul kenal kepadanya." Daripada kisah yang diriwayatkan
maknanya, sekadar tengok seseorang sembahyang, berulang alik ke masjid atau
membaca al-Quran belum bererti kita tahu perangai yang sebenar. "Seeloknya
ajak dia bermusafir, baru tahu kedekut atau tidak. Berjiran dengannya, baru tahu
perangai peribadi, dan jika berniaga bersama-samanya baru tahu amanah atau
sebaliknya diri seseorang. Jika sudah kenal hati budinya barulah boleh dia
dijadikan kawan atau saksi. Begitu juga apabila mencari pasangan, selidik
dahulu latar belakang dan nilai peribadinya. Caranya dengan menghantar wakil
atau orang tengah yang boleh diharapkan," sarannya.
Namun tidak dinafikan, apabila suami
berubah sikap misalnya tidak lagi mesra seperti dahulu, tidak mahu bergurau
senda apatah lagi memupuk kasih dan sayang si isteri akan makan hati dan
menderita. Namun jangan sesekali dibiarkan sehingga meresap ke dalam hati dan
perasaan yang akhirnya menjadi kebiasaan. Apabila suami buat perangai,
cepat-cepat ditegur. Supaya dia segera sedar yang perbuatannya itu salah. Jika
isteri terlalu sabar dan redha dibimbangi akan meresap ke dalam hati dan
menjadi kesedapan kepadanya. Memang kenyataannya apabila menegur atau
melembutkan hati suami, mereka akan lebih keras dan kasar. Gelagat perubahan
ini lebih ketara apabila si suami sudah mula senang sedikit. Balik lewat malam,
bersenang-senang dan makan-makan dengan teman-teman atau pergi berpoya-poya.
Sebab itu dikatakan orang, wang sahaja membawa kebahagiaan tetapi mengheret
kepada kecelakaan. "Cara untuk mengatasi masalah suami yang berubah hati,
si isteri tidak boleh membentak. Kerana lelaki yang berperangai begini, hatinya
sudah keras. Si isteri mesti menggunakan pendekatan dengan cara yang paling
lembut sehingga mereka sedar.
"Tidak dinafikan apabila si
isteri berlembut, perangai suami semakin menjadi-jadi. Bagaimanapun cuba kita
fikirkan, kalau membentak akan timbul pula permusuhan yang berpanjangan. Silap
hari bulan, sisuami memukul atau mendera si isteri. Diam isteri bukan bererti
redha dan bersetuju dengan perangainya cuma sekasar mana pun lelaki, namun jauh
disudut hati pasti mempunyai belas. Kasihan dengan si isteri yang cukup tenang,
sabar dengan perangainya yang buruk," ujarnya.
Tambahnya lagi, "Ada masanya
suami mesti disentak dengan perkara-perkara yang tidak dijangka. Misalnya
seorang isteri yang sebelum ini banyak cakap tiba-tiba mogok. Lepas masak diam,
lepas makan diam, hendak tidur pun diam, maknanya perangainya berubah menjadi
pendiam. Mungkin dengan cara itu dia mampu meluahkan perasaannya daripada marah
tidak tentu pasal kemudian dicop suami, dia derhaka. "Seperti kisah
seorang pemuda yang menyatakan hasrat mahu berkahwin tetapi dihalang oleh
emaknya. Jadi dia mogok, kalau melawan, bimbang menderhaka kepada orang tua dan
dia takut masuk ke dalam api neraka. Lantas dia diam sahaja sepanjang masa.
Tidak makan, tidak minum, tidak tidur, sembahyang sahaja yang dilakukan.
Lama-kelamaan ibunya bertanya,
"Engkau sakit ke, asyik diam aja." Si anak menggelengkan kepala.Oleh
sebab emak sayangkan anak, lantas disuruhnya si anak berkahwin. Barulah si anak
bersemangat dan bahagia. Dalam kes ini si anak terselamat, tidak menderhaka
kepada ibunya dan dapat pula berkahwin," ceritanya.
TEGUR
CARA BERHIKMAH
Ismail Kamus menambah, jika sukar
atau tidak sampai hati menegur suami yang buat perangai, gunakan orang tengah.
"Memang susah mencari yang boleh dipercayai tetapi itulah cabaran yang
mesti dihadapi. Bagaimanapun cara penyampaian orang tengah itu biar betul dan
kena caranya sehingga suami tidak menyalahkan si isteri. "Selain memberi
nasihat, isteri hendaklah mohon kepada Allah dan bermunajat kepada-Nya tanpa
jemu. Di samping itu bacalah surah Ali-Imran, ayat 83 yang maksudnya:
"Apakah selain daripada agama Allah mereka cari, dan baginya, menyerahlah
sesiapa yang di langit dan yang di bumi, secara sukarela dan terpaksa dan
kepada-Nya jua mereka dikembalikan."
"Ayat ini hendaklah dibaca
sebanyak 1,000 kali sehari. Apabila hendak digunakan baca tiga kali dan tiup
kepada orang yang berkenaan atau ditiupkan ke dalam air untuk diminum oleh
orang tersebut. Mudah-mudahan, berkat doa dan air itu akan lembut
hatinya."
Menjawab persoalan, bagaimana
membelai cinta jika si suami asyik panas baran beliau menjelaskan. Apabila
suami baran, isteri kena sabar dan redha kerana itulah suami kita. Orang yang
baran sebenarnya ada masalah. Jiwanya sakit tenat dan perlu diubati. Perhatikan
di mana kelemahan suami dan cari punca kenapa dia marah. Kemudian kita cari
jalan supaya dia tidak marah. Umpamanya kalau isteri lambat masak, suami akan
marah, jadi si isteri hendaklah menyegerakan memasak. Ataupun setiap kali balik
kerumah, suami mesti hendak minum, jadi cari jalan cepat-cepat sediakan
minuman. Ertinya kita hendaklah menutup segala punca kemarahan suami dan
lama-kelamaan penyakitnya akan reda.
Kalau dia yang menyalakan api
kemarahan, isteri hendaklah mendiam diri. Jangan sesekali marah kerana marah
itu bukan milik kita tetapi haknya. Jika kita tentang kemarahannya, ia akan
lebih cepat terbakar atau merebak. Lagipun api bukan lawannya api sebaliknya
hendaklah disimbah dengan air supaya padam. "Untuk meredakan, amalkan
surah Toha ayat satu hingga enam dan baca sebanyak 1,000 kali. Tiup kepada
ubun-ubun atau mukanya sehingga kepusat sebanyak tiga kali. Insya-Allah akan
lembut hatinya. Antara maksudnya,
"Tha, Ha, (Hai manusia), tiada Kami turunkan al-Quran ini supaya engkau
mendapat celaka. Melainkan peringatan bagi orang yang takut (kepada Tuhan).
Wahyu yang diturunkan dari Tuhan yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.
Tuhan yang Pemurah berkuasa di atas singgahsana. Kepunyaan-Nya apa yang ada
dilangit, apa yang ada di bumi, apa yang ada di antara kedua-duanya dan apa
yang ada di bawah tanah."
Sebelum mengakhiri perbualan, beliau
sempat menegur sesiapa sahaja yang masih mengabaikan rumah tangga sebaliknya
hanya mahu berseronok dan berserakah, hendaklah segera bertaubat.
Nabi bersabda, "Barang siapa yang
telah melampaui 40 tahun namun kebaikannya tidak mengatasi kejahatan hendaklah
dia bersiap sedia untuk masuk api neraka."
Dedahan Ustaz penuh bermakna.
Wallahu'alam.