Wednesday 11 December 2013

~Sabar Dan Solat~


2 Safar 1435

Jika kita bersetuju yang seluruh kehidupan – sama ada suka atau duka – merupakan ujian, maka penyelesaian kepada bagaimana mahu menghadapi ujian menjadi tersangat mudah. Inilah kunci utama kepada tindakan seterusnya. Kehidupan dunia bukan lagi menjadi sasaran akhir. Ia penting tetapi bukan ia bukan segala-galanya.

Ia hanya laluan yang perlu dilalui bagi menuju destinasi akhir yang kekal abadi, menginap di syurga yang tiada penghujung. Manual menghadapi ujian telah dinyatakan dengan cara yang agak mudah melalui firman Allah SWT. Inilah yang patut dilaksana dan dilakukan oleh semua orang apabila menjalani kehidupan harian. Allah menyatakan secara jelas melalui surah al-Baqarah ayat 45 yang bermaksud,

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;
 Malah Allah tegaskan sekali lagi melalui surah yang sama tetapi ayat yang berbeza. Ayat 153 ini membawa maksud,
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.

Saya terkenangkan hari pertama ketika pulang melihat rumah yang dilanda banjir. Hati saya sayu dan sebak melihat keadaan rumah, harta benda di dalamnya terutamanya kitab-kitab yang menjadi kesayangan, kereta NAZA yang masih lagi berbaki hutang yang banyak, dan peralatan elektrik dan perabut yang hampir 100% musnah. Allah gerakkan hati saya untuk mengajak Roza solat sunat dua rakaat dan seterusnya bermunajat kepadaNya.

Allahu Akbar, serta-merta Dia menghilangkan perasaan gundah-gulana, saya boleh bergurau senda dengan tetamu yang hadir malah Allah memberikan kekuatan untuk saya memikirkan apakah rahsia di sebalik ujian yang menimpa kami. Akhirnya, Allah anugerahkan buku ini – Bersyukur Saat di Uji –  yang menjadi tatapan khalayak pembaca.

Sungguh. Ia sangat benar dan sungguh sebagaimana maksud ayat 153 yang mahu manusia meminta kepadaNya walaupun untuk menjalankan perintahNya yakni untuk beramal ibadat. Ia bukan perkara yang senang terutamanya dalam konteks melaksanakan amal ibadat khusus secara ikhlas dan kusyuk.

Malah ia lebih rumit untuk melakukan perkara sunat terutamanya apatah lagi ketika menghadapi ujian yang luar biasa. Manusia sangat cepat berputus asa dan terburu-buru dalam mengambil tindakan. Malah tindakan yang diambil akibat ujian duka yang diterima tidak mempunyai logik akal. Mereka memilih untuk menyusahkan diri sendiri berbanding mencari ketenangan yang hakiki.

Jika ujian suka, mereka akan lebih lagi merai dan menyukakan diri sehingga ia sampai peringkat melampau yang melalaikan, menimbulkan maksiat dan pastinya menjauhkan diri daripada Allah SWT. Hakikat sebenar, Allah memberi kaedah mudah untuk menghadapi sebarang bentuk ujian – duka atau suka – bagi memandu manusia agar sentiasa berada di landasan yang lurus.

Asas utama ke atas segala ujian ialah dengan mendirikan solat dan bersabar. Itulah rahsia sebenar kenapa sesetengah manusia dapat menghadapi sebarang ujian dengan penuh ketenangan. Kesan besar, dalam apa keadaan pun ia akan menyebabkan mereka berjaya menjadikan kehidupan ini ke arah menyembah dan beramal ibadat kepada Allah SWT.

Fitrah manusia gemar bercerita, mengadu atau berkongsi rasa. Mereka yang sedang menghadapi masalah rumahtangga – misalnya – amat gemar menceritakan masalah mereka dengan teman yang paling rapat terutamanya di pejabat. "Henny, jangan cerita pada sesiapa tahu, ini rahsia. Aku ceritakan kepada engkau sahaja," kenyataan yang selalu dipesan setelah menghabiskan kisah aib suami yang mungkin mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.

Malah cerita-cerita seumpama ini boleh disampaikan dalam tangis dan sedu yang tidak boleh ditahan-tahan. Pada hari yang lain, Henny yang juga mempunyai fitrah yang sama bercerita tentang kisah-kisah yang terpendam di dalam hati. Juga kepada teman lain yang paling rapat dengan pesan seiras, "Rosmawati, jangan kau cerita pada sesiapa kerana Maznah hanya memberitahu kepada aku sahaja".

Akhirnya, dalam tempoh seminggu-dua kisah yang sepatutnya menjadi rahsia tiga sekawan pecah terberai ke seluruh pejabat yang kadang-kala merebak tanpa sempadan. Akhirnya aib keluarga sendiri menjadi perbualan seluruh masyarakat.

“Daripada Ibnu ‘Abbas sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca doa ketika duduk antara dua sujud: “Ya Allah! Ampunilah dosaku, rahmatilah aku, tutupkanlah keaibanku, berilah aku petunjuk dan kurniakanlah aku rezeki”

Allahu Akbar. Mengadulah kepada Allah. Bangunlah solat malam. Bermunajatlah kepadaNya dengan penuh pengharapan betapa Dia yang Maha Berkuasa untuk menyelesaikan kusut-masai. Menangislah kepadaNya. Merayu dan merintihlah, biar kita terasa yang jiwa dan perasaan kita tersangat hampir denganNya.

Luahkanlah rasa hati kepada Allah yang Maha Mendengar. InsyaAllah, Dia tidak akan membuka aib kita sehingga kisah kita menjadi bualan sepejabat yang tidak membawa sebarang faedah. Bukankah Allah telah berfirman melalui satu hadis qudsi yang dilaporkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud,

Allah SWT turun ke langit dunia, ketika 1/3 malam masih tersisa, Allah menyeru: “Adakah antara hambaKu yang berdoa kepadaKu, supaya aku mengabulkan permintaannya? Adakah antara hambaKu yang meminta ampun kepadaKu, supaya aku mengampuninya? Adakah antara hambaKu yang meminta kepadaKu, supaya aku memenuhinya?”


Bagaimana pula dengan keluarga yang kelihatan bahagia? Suami-isteri mewah, dikurniakan anak-anak yang comel dan pintar, berterbangan ke London, Paris dan New York dan mempunyai kuasa, darjat dan kemuliaan yang tinggi. Ini juga merupakan ujian. Fitrah manusia suka bercerita tentang kegembiraan yang mereka alami juga tidak terkecuali.

Namun satu persoalan yang mudah, "berapa kalikah mereka melaksanakan sujud syukur menyatakan secara formal tentang kegembiraan ini kepada Allah SWT?". Bangunkah mereka pada 1/3 malam yang tersisa menangis dan tersedu di atas nikmat yang Allah berikan. Bersolat malamkah mereka? Allah... Allah... Allah... berdoakah mereka kepada Allah supaya segala kemewahan dan kejayaan yang dicapai lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Saya bukanlah orang yang berilmu tinggi. Namun saya terkesan dengan kisah perjalanan Rasululullah SAW daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dalam peristiwa agung Israk-Miraj yang sentiasa diceritakan setiap tahun.

Allah kisahkan peristiwa ini melalui ayat awal surah al-Israa yang bermaksud, "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".


Baginda SAW memulakan perjalanan ini dengan solat sunat dua rakaat di Masjidil Haram. Allahu Akbar, ia teladan paling mudah untuk diikuti. Saya selalu berpesan kepada diri sendiri, isteri dan anak-anak serta kaum keluarga supaya bersolat sunat apabila mahu melakukan sesuatu walupun ia tugas rutin. Ketika berceramah Israk-Miraj, saya nyatakan,

"kita mendengar ceramah israk-miraj setiap tahun. Apa yang kita amalkan selepas tamat ceramah? Apakah yang boleh dijadikan ilmu yang bermanfaat. Saya cadangkan kita solat sunat dua rakaat ketika ingin melakukan sesuatu yang spesifik. Ia tanda kebergantungan kita kepada Allah, ia tanda kita berharap dan mohon pertolonganNya kerana setiap apa yang kita lakukan merupakan ujian Allah. Ia menyedarkan kita kenapa kita hidup di dunia ini, menyembah dan beramal ibadat kepadaNya".

Allahu Akbar, kaedah menghadapi ujian kelihatan dan nyata mudah iaitu, sabar dan solat. Ia agak mudah buat mereka yang ingin mencari keredhaan Allah. Mudah buat mereka yang mengerti kenapa mereka dicipta dan diberi kehidupan dunia. Mudah buat mereka yang kusyuk. Kusyuk ini bukan sahaja dirujuk kepada kusyuk dalam solat tetapi melangkaui hubung langsung dengan Allah SWT dalam segenap kehidupan.

Kami mohon keampunan Allah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang Ads