2
Safar 1435
Jika
kita bersetuju yang seluruh kehidupan – sama ada suka atau duka – merupakan
ujian, maka penyelesaian kepada bagaimana mahu menghadapi ujian menjadi
tersangat mudah. Inilah kunci utama kepada tindakan seterusnya. Kehidupan dunia
bukan lagi menjadi sasaran akhir. Ia penting tetapi bukan ia bukan
segala-galanya.
Ia
hanya laluan yang perlu dilalui bagi menuju destinasi akhir yang kekal abadi,
menginap di syurga yang tiada penghujung. Manual menghadapi ujian telah
dinyatakan dengan cara yang agak mudah melalui firman Allah SWT. Inilah yang
patut dilaksana dan dilakukan oleh semua orang apabila menjalani kehidupan
harian. Allah menyatakan secara jelas melalui surah al-Baqarah ayat 45 yang
bermaksud,
Dan
mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan
sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada
orang-orang yang khusyuk;
Malah Allah tegaskan sekali lagi melalui surah
yang sama tetapi ayat yang berbeza. Ayat 153 ini membawa maksud,
Wahai
sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah
payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan
(mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong)
orang-orang yang sabar.
Saya
terkenangkan hari pertama ketika pulang melihat rumah yang dilanda banjir. Hati
saya sayu dan sebak melihat keadaan rumah, harta benda di dalamnya terutamanya
kitab-kitab yang menjadi kesayangan, kereta NAZA yang masih lagi berbaki hutang
yang banyak, dan peralatan elektrik dan perabut yang hampir 100% musnah. Allah
gerakkan hati saya untuk mengajak Roza solat sunat dua rakaat dan seterusnya
bermunajat kepadaNya.
Allahu
Akbar, serta-merta Dia menghilangkan perasaan gundah-gulana, saya boleh
bergurau senda dengan tetamu yang hadir malah Allah memberikan kekuatan untuk
saya memikirkan apakah rahsia di sebalik ujian yang menimpa kami. Akhirnya,
Allah anugerahkan buku ini – Bersyukur Saat di Uji – yang menjadi tatapan khalayak pembaca.
Sungguh.
Ia sangat benar dan sungguh sebagaimana maksud ayat 153 yang mahu manusia
meminta kepadaNya walaupun untuk menjalankan perintahNya yakni untuk beramal
ibadat. Ia bukan perkara yang senang terutamanya dalam konteks melaksanakan
amal ibadat khusus secara ikhlas dan kusyuk.
Malah
ia lebih rumit untuk melakukan perkara sunat terutamanya apatah lagi ketika
menghadapi ujian yang luar biasa. Manusia sangat cepat berputus asa dan
terburu-buru dalam mengambil tindakan. Malah tindakan yang diambil akibat ujian
duka yang diterima tidak mempunyai logik akal. Mereka memilih untuk menyusahkan
diri sendiri berbanding mencari ketenangan yang hakiki.
Jika
ujian suka, mereka akan lebih lagi merai dan menyukakan diri sehingga ia sampai
peringkat melampau yang melalaikan, menimbulkan maksiat dan pastinya menjauhkan
diri daripada Allah SWT. Hakikat sebenar, Allah memberi kaedah mudah untuk
menghadapi sebarang bentuk ujian – duka atau suka – bagi memandu manusia agar
sentiasa berada di landasan yang lurus.
Asas
utama ke atas segala ujian ialah dengan mendirikan solat dan bersabar. Itulah
rahsia sebenar kenapa sesetengah manusia dapat menghadapi sebarang ujian dengan
penuh ketenangan. Kesan besar, dalam apa keadaan pun ia akan menyebabkan mereka
berjaya menjadikan kehidupan ini ke arah menyembah dan beramal ibadat kepada
Allah SWT.
Fitrah
manusia gemar bercerita, mengadu atau berkongsi rasa. Mereka yang sedang
menghadapi masalah rumahtangga – misalnya – amat gemar menceritakan masalah
mereka dengan teman yang paling rapat terutamanya di pejabat. "Henny,
jangan cerita pada sesiapa tahu, ini rahsia. Aku ceritakan kepada engkau
sahaja," kenyataan yang selalu dipesan setelah menghabiskan kisah aib
suami yang mungkin mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.
Malah
cerita-cerita seumpama ini boleh disampaikan dalam tangis dan sedu yang tidak
boleh ditahan-tahan. Pada hari yang lain, Henny yang juga mempunyai fitrah yang
sama bercerita tentang kisah-kisah yang terpendam di dalam hati. Juga kepada
teman lain yang paling rapat dengan pesan seiras, "Rosmawati, jangan kau
cerita pada sesiapa kerana Maznah hanya memberitahu kepada aku sahaja".
Akhirnya, dalam
tempoh seminggu-dua kisah yang sepatutnya menjadi rahsia tiga sekawan pecah
terberai ke seluruh pejabat yang kadang-kala merebak tanpa sempadan. Akhirnya
aib keluarga sendiri menjadi perbualan seluruh masyarakat.
“Daripada Ibnu
‘Abbas sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca doa ketika duduk
antara dua sujud: “Ya Allah! Ampunilah dosaku, rahmatilah aku, tutupkanlah
keaibanku, berilah aku petunjuk dan kurniakanlah aku rezeki”
Allahu Akbar.
Mengadulah kepada Allah. Bangunlah solat malam. Bermunajatlah kepadaNya dengan
penuh pengharapan betapa Dia yang Maha Berkuasa untuk menyelesaikan
kusut-masai. Menangislah kepadaNya. Merayu dan merintihlah, biar kita terasa
yang jiwa dan perasaan kita tersangat hampir denganNya.
Luahkanlah rasa
hati kepada Allah yang Maha Mendengar. InsyaAllah, Dia tidak akan membuka aib
kita sehingga kisah kita menjadi bualan sepejabat yang tidak membawa sebarang
faedah. Bukankah Allah telah berfirman melalui satu hadis qudsi yang dilaporkan
oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud,
Allah SWT turun ke
langit dunia, ketika 1/3 malam masih tersisa, Allah menyeru: “Adakah antara
hambaKu yang berdoa kepadaKu, supaya aku mengabulkan permintaannya? Adakah
antara hambaKu yang meminta ampun kepadaKu, supaya aku mengampuninya? Adakah
antara hambaKu yang meminta kepadaKu, supaya aku memenuhinya?”
Bagaimana pula
dengan keluarga yang kelihatan bahagia? Suami-isteri mewah, dikurniakan
anak-anak yang comel dan pintar, berterbangan ke London, Paris dan New York dan
mempunyai kuasa, darjat dan kemuliaan yang tinggi. Ini juga merupakan ujian.
Fitrah manusia suka bercerita tentang kegembiraan yang mereka alami juga tidak
terkecuali.
Namun satu
persoalan yang mudah, "berapa kalikah mereka melaksanakan sujud syukur
menyatakan secara formal tentang kegembiraan ini kepada Allah SWT?".
Bangunkah mereka pada 1/3 malam yang tersisa menangis dan tersedu di atas
nikmat yang Allah berikan. Bersolat malamkah mereka? Allah... Allah... Allah...
berdoakah mereka kepada Allah supaya segala kemewahan dan kejayaan yang dicapai
lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Saya bukanlah
orang yang berilmu tinggi. Namun saya terkesan dengan kisah perjalanan
Rasululullah SAW daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dalam peristiwa agung
Israk-Miraj yang sentiasa diceritakan setiap tahun.
Allah kisahkan
peristiwa ini melalui ayat awal surah al-Israa yang bermaksud, "Maha Suci
Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid
Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati
sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan
kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui".
Baginda SAW
memulakan perjalanan ini dengan solat sunat dua rakaat di Masjidil Haram.
Allahu Akbar, ia teladan paling mudah untuk diikuti. Saya selalu berpesan
kepada diri sendiri, isteri dan anak-anak serta kaum keluarga supaya bersolat
sunat apabila mahu melakukan sesuatu walupun ia tugas rutin. Ketika berceramah
Israk-Miraj, saya nyatakan,
"kita
mendengar ceramah israk-miraj setiap tahun. Apa yang kita amalkan selepas tamat
ceramah? Apakah yang boleh dijadikan ilmu yang bermanfaat. Saya cadangkan kita
solat sunat dua rakaat ketika ingin melakukan sesuatu yang spesifik. Ia tanda
kebergantungan kita kepada Allah, ia tanda kita berharap dan mohon
pertolonganNya kerana setiap apa yang kita lakukan merupakan ujian Allah. Ia
menyedarkan kita kenapa kita hidup di dunia ini, menyembah dan beramal ibadat
kepadaNya".
Allahu Akbar,
kaedah menghadapi ujian kelihatan dan nyata mudah iaitu, sabar dan solat. Ia
agak mudah buat mereka yang ingin mencari keredhaan Allah. Mudah buat mereka
yang mengerti kenapa mereka dicipta dan diberi kehidupan dunia. Mudah buat
mereka yang kusyuk. Kusyuk ini bukan sahaja dirujuk kepada kusyuk dalam solat
tetapi melangkaui hubung langsung dengan Allah SWT dalam segenap kehidupan.
Kami mohon
keampunan Allah.