Wednesday 2 January 2013

~Risau itu Suatu Kerisauan~

Bismillahirrahmanirrahim....

Ada satu perkara yang apabila saya membaca dan melihatnya, hati saya akan jadi sedih, sebak, dan risau...
Perkara yang sepatutnya memang saya elakkan...
Saya selalu bertanya, kenapa perlu saya mengetahuinya...
Seolah-olah saya tidak dapat menerimanya...
Hati dan fikiran saya benar-benar terganggu....
Kenapa saya perlu risau....
Kenapa dan kenapa....

Astaghfirullah...
Mungkin ini hanya mainan perasaan....
Lebih baik saya biarkan sahaja...
Allah Maha Mengetahui...
Sememangnya sebagai seorang insan, saya tidak mahu perkara negatif dalam hidup saya...
Sememangnya saya mahu yang baik-baik sahaja....
Tapi saya sedar, negatif dan positif itulah yang akan menjadikan saya lebih kuat...
Mungkin satu hari nanti, ada sesuatu yang perlu saya berikan untuk membuatkan kehidupan seseorang itu lebih baik...

Allah Maha Mengetahui yang terbaik untuk saya...
Apa pun yang berlaku, saya harap saya tetap kuat...
Berdoa, dan terus berdoa...
Dan sudah tentu saya tidak mahu larut dalam kerisauan itu....

Allah Maha Berkuasa...
Kunfayakun... 
Apabila Allah Mengkehendaki, itu yang akan terjadi....
MashaAllah....
Ilmu insan terbatas...
Ilmu Allah jualah yang Maha Luas...
Bersabarlah duhai hati.... (T_T)

(Myilham.com)


Masa berlalu. Kita masing-masing terus melangkah mengejar impian masing-masing. Ada yang melangkah gagah, ada yang melangkah tenang, ada yang sudah goyah, ada yang perlahan dan ada yang tempang.
Apapun, kehidupan tetap diteruskan.
Pernah tak anda merasai kerisauan?
” Aku risaula. Exam berderet minggu depan..”
” Saya risaula. Apa lah akan terjadi dalam hidup kita akan datang ”
” Ana risaulah. Masuk kali ni dah 3 kali lamaran ana ditolak..”
Siapa yang tak pernah rasa risau, kan?
Kita boleh saja risau dengan banyak sebab dan banyak faktor. Tapi yang paling besar adalah sebab duit, sebab keluarga dan sebab wanita ( cinta ).

FITRAH
Manusia ini Allah jadikan dengan sifatnya yang istimewa.
Ada ketika dia kuat, ada ketika dia akan lemah.
Tak ada manusia yang sentiasa kuat. Begitu juga tak ada manusia yang sentiasa lemah.
Tapi tabiat lemah itu memang fitrah kejadian manusia. Sehebat mana pun dia dalam ilmu silat, sampai bergelar pendekar sekalipun, ada masa dan ketikanya dia akan demam, sakit kepala, sakit perut dan sebagainya. Begitulah kita-kita yang bernama manusia.
Salah satu petanda lemahnya kita adalah rasa risau, bimbang, keluh kesah, gelisah yang sering bertandang di hati.
Hebat mana pun kita, setinggi mana pun kedudukan dan darjat kita di dunia, ada masa dan ketikanya akan rasa risau dan bimbang.
Sebab apa?
Sebab kita manusia, ilmu kita terbatas. Kita tahu apa yang sedang berlaku, tapi kita tak tahu apa yang bakal berlaku.
Esok, lusa, minggu depan, tahun depan, masa depan, kita tak tahu apa yang akan terjadi pada diri kita, pada perancangan kita, pada keluarga kita dan sebagainya.
Orang yang mengeluarkan modal untuk berniaga, dia pun rasa risau, takut-takut rugi, takut berlaku sesuatu yang mengakibatkan perniagaan terbengkalai, terhenti sekerat jalan, bertemu kegagalan, ditipu pelanggan dan sebagainya.
Ah. Hidup ini penuh dengan ujian dan dugaan, mana mungkin kita tidak risau?
Itu kan fitrah.

RISAU YANG MENJADI KERISAUAN
Tapi dalam Al-Quran, ada petikan ayat yang cukup indah sebagai motivasi.
Firman Allah ta’ala :
Dan ketika datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut, ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya); dan (setelah melihatkan halnya yang demikian), utusan-utusan itu berkata: “Janganlah engkau takut dan janganlah berdukacita, sesungguhnya kami akan menyelamatkanmu dan keluargamu (serta pengikut-pengikutmu) – kecuali isterimu, ia adalah dari orang-orang yang dibinasakan.
[ Al-Ankabuut : 33 ]
Ya, ada pujukan supaya ‘jangan takut, jangan risau, jangan gelisah, jangan dukacita’ walaupun berada di tengah-tengah ujian yang menggila!
Pujukan inilah ubat kepada orang beriman.
Walaupun Allah jadikan dalam diri kita ada rasa risau, tetapi kerisauan itu tidak diciptakan untuk menjatuhkan kita. Sebaliknya kerisauan itu diciptakan untuk meninggikan darjat kita.
Bagaimana?
Bila kita mampu pulangkan kerisauan itu kepada Allah ta’ala, Pemilik segala percaturan di dunia.
Kita risau, tapi kerana kita yakin Allah yang berikan ujian dan dugaan, jadi kita berjaya atasi kerisauan tersebut. Kita gelisah, tapi mampu ditukar menjadi tabah, lantas kita berjaya bangkit lebih gagah.
Tapi bagaimana jika Allah dipinggirkan dalam kehidupan?
Tatkala ujian dan dugaan silih mendatang hari ini, dan di dalam dada berkecamuk resah gelisah menduga ujian serta cabaran hari esok, kepada siapa disandarkan segala tindakan dan percaturan?
Tiada siapa. Hanya diri sendiri. Hanya dengan manusia-manusia yang ada.
Lalu risau terus berpanjangan. Gelisah berterusan, jiwa mula sukar bertemu ketenangan.
Situasi ini yang kita tidak inginkan.
Risau yang tidak disandarkan kepada Pemilik segala percaturan, akan merubah segenap sisi kehidupan. Dari seorang yang tenang, menjadi seorang yang panas baran. Dari seorang yang optimis, menjadi seorang yang pesimis. Dari seorang yang pemurah, menjadi seorang yang bakhil. Dari seorang yang peramah, menjadi seorang yang pemarah.
Semuanya kerana risau dalam menjalani kehidupan!
Isteri hilang percaya pada suami. Suami mula menyampah dengan isteri. Ibu mula bosan dengan anak-anak. Anak-anak mula jauh hati dengan ibu dan ayah sendiri.
Ah. Panjanglah jika hendak disenaraikan kesan-kesan buruk apabila kehidupan dimamah sebuah rasa ‘risau’.
Padahal rasa risau itu sendiri suatu kerisauan kepada kita. Kerisauan yang jauh lebih besar dari sebuah rasa risau adalah apabila kita terlepas tali pergantungan dengan Allah ta’ala.
Tuhan yang mencaturkan hidup kita dan menatijahkan perancangan kita menjadi begini.
Segalanya dibuat cantik dan teliti, kerana hikmah tertentu yang hanya bisa dikecap dengan deria tulus seorang mukmin.

JANGAN RISAU!
Jika di depan kamu itu adalah masalah, jangan kamu risau.
Jika di depan kamu itu bukan masalah, mengapa kamu risau?
Ya.
Jika di depan kita itu adalah sebuah masalah ( yang kemudiannya kita risau kerananya ) , sepatutnya kita tidak risau. Kenapa? Sebab setiap masalah ada penyelesaiannya. Bukan begitu?
Tidak ada masalah yang timbul, melainkan pasti ada jalan keluarnya.
Kalau tak ada jalan keluar, satu sahaja jawabnya, iaitu mati.
Selagi hidup, pasti ada jalan keluar.
Lebih-lebih lagilah jika di depan kita itu bukan sebuah masalah, maka tak ada sebab untuk kita risau.
Kesimpulannya, jangan larut dalam sebuah kerisauan!
Sesekali ia datang menyapa lubuk rasa, layanlah sekadarnya. Jangan layan dengan emosi semata-mata, tetapi layanlah dengan sepenuh rasa muhasabah kepada Allah ta’ala. Risau yang datang mengingatkan kita supaya menguatkan pergantungan dengan Sang Pencipta.
Tapi jangan berterusan hidup di dalamnya.
Letak kerisauan itu di tangan, jangan letak di dalam dada. Letak di tangan, kita akan berikhtiar sehabis daya untuk mengatasinya.
Kalau letak di dada, alamatnya seluruh hidup kita boleh musnah kerananya!
Hanya Allah sebaik-baik tempat bergantung dan diletakkan harapan. Jangan risau, jangan gelisah, yakinlah Allah sentiasa bersama anda!







No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang Ads