SEJAK kebelakangan ini kita sering membaca dalam akhbar dan
media massa tentang keruntuhan rumahtangga masyarakat Islam. Fenomena ini bukan
sahaja berlaku dalam kalangan golongan bawahan malah golongan berada juga tidak
dapat lari daripada permasalahan ini. Ia juga tidak terhad dalam kalangan orang
tidak mempunyai didikan agama malah kumpulan ini juga seringkali terjerat di
dalam polemik ini.
Walaupun umat Islam berlumba-lumba mengerjakan kebaikan
seperti bersedekah, membuat kebajikan dan mengambil berat terhadap orang lain,
tetapi sebahagian daripada kita alpa untuk mengerjakan kebaikan kepada orang
yang hampir dengan kita. Sebenarnya Rasulullah SAW lebih mengutamakan melakukan
kebaikan kepada orang yang hampir kepada kita seperti ahli keluarga, sanak
saudara dan jiran tetangga.
Perkara ini dapat dilihat daripada beberapa hadis Rasulullah
yang menerangkan kepentingan memperlakukan isteri dengan sebaik-baiknya.
Umpamanya, Rasulullah diriwayatkan bersabda kepada kaum lelaki yang bermaksud:
“Ingatlah, terimalah wasiatku, gauli wanita (isteri) dengan baik kerana
sesungguhnya mereka adalah tanggungjawab di tangan kamu. Kalian tidak mempunyai
apa-apa hak daripada mereka kecuali mereka melakukan perbuatan yang menyimpang
dan keji. Apabila mereka melakukan perkara tersebut, maka janganlah tidur
bersama mereka dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan. Jika
mereka patuh kepada kamu maka janganlah kalian mencari jalan menyakiti mereka.
Ingatlah, sesungguhnya kamu mempunyai hak atas isteri-isteri kamu dan mereka
mempunyai hak ke atas kamu. Adapun hak kalian ke atas isteri-isteri kalian
adalah tidak mengajak orang yang kamu benci tidur di atas ranjang kalian dan
tidak pula mengajak orang yang kamu benci masuk ke dalam rumah kamu. Dan hak
isteri-isteri kamu ke atas kamu adalah memberikan pakaian dan makanan kepada
mereka dengan baik.” - Riwayat Tirmizi
Sabda Rasulullah di atas jelas memberi panduan kepada kita
tatacara bagaimana pergaulan antara suami isteri harus dilakukan. Ia juga
menitikberatkan hak dan tanggungjawab bersama. Malah tanggungjawab mendidik
isteri yang terletak di bahu suami juga diperincikan sehingga dalam keadaan
isteri melakukan perkara yang menyimpang dan keji telah diberikan garis panduan
menanganinya.
Oleh yang demikian melayani isteri dengan cara yang terbaik
amatlah dituntut dalam Islam. Wanita dijadikan oleh Allah daripada tulang rusuk
kiri lelaki yang mempunyai signifikan amat besar. Tulang rusuk itu sebenar
terlalu hampir dengan hati. Oleh itu wanita hendaklah sentiasa berada di hati
lelaki (suami) untuk dicintai. Wanita tidak dijadikan daripada kepala untuk
dijunjung atau dipuja oleh lelaki, mereka juga tidak dijadikan daripada kaki
untuk dipijak atau dihina. Inilah kedudukan istimewa wanita yang telah
dinobatkan oleh Islam. Tulang rusuk yang bengkok itu pula simboliknya perlu
diluruskan dengan penuh hati-hati dan penuh hikmah agar tidak patah semasa
diluruskan.
Dalam hadis yang lain Rasulullah juga bersabda yang
bermaksud: “Seorang mukmin yang imannya paling sempurna adalah yang akhlaknya
paling baik. Dan sebaik-baik kamu adalah yang baik terhadap isterinya.” -
Riwayat Ahmad.
Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah bersabda maksudnya:
”Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah isteri yang solehah.”
- Riwayat Muslim, Nasai Ibn Majah dan Ahmad
Jelaslah daripada dua hadis yang dinyatakan di atas
ketinggian kedudukan isteri di samping suami. Hakikat ini perlulah disedari
oleh golongan suami. Ini adalah kerana sebahagian suami mengambil mudah peranan
isteri dan menganggap isteri perlu patuh kepada segala kehendak suami tanpa
mengambil kira perasaan dan kehendak wanita itu sendiri.
Memanglah kuasa ketua keluarga itu diberikan kepada para
suami namun kuasa tersebut hendaklah ditadbirkan dengan adil mengambil kira
kemampuan, kesusahan dan juga kehendak isteri.
Jika kuasa ini tidak dijalankan dengan sempurna sudah tentu
akan mengundang polemik antara suami isteri tersebut dan suami yang tidak
menjalankan kuasa dengan sempurna sudah tentu akan dipertanggungjawabkan atas
kegagalan itu. Kuasa tersebut sebenarnya bukanlah suatu keistimewaan tetapi
lebih kepada tanggungjawab yang hendaklah digalas dengan sempurna.
Dalam Islam, apabila suatu keistimewaan diberikan kepada
seseorang ia sebenarnya disertakan dengan tanggungjawab. Lebih besar
keistimewaan diberikan lebih besar sebenarnya tanggungjawab yang dibebankan
kepada seseorang.
Walaupun suami dibebankan dengan tanggungjawab, isteri juga
tidak terlepas daripada peranan yang perlu dijalankan dalam sesebuah keluarga.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Demi Zat yang jiwaku berada dalam
genggaman-Nya, tidak seorang lelaki pun yang mengajak isterinya ke katilnya (untuk
disetubuhi) lalu isteri itu enggan kecuali malaikat yang di langit marah
kepadanya hinggalah suami tersebut reda kepada isteri itu.” - Riwayat Muslim
Alangkah indahnya hubungan antara suami isteri yang
dijelaskan oleh hadis-hadis di atas, berteraskan kepada akhlak yang digariskan
oleh Rasulullah. Islam menganjurkan perbuatan baik kepada isteri dan ahli
keluarga sama ada dengan memberi layanan yang baik ataupun menggembirakan hati
mereka dengan memenuhi hasrat mereka yang munasabah dan di dalam kemampuan
suami.
Dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa hubungan suci
suami isteri ini hendaklah berasaskan kepada piawaian hukum syarak bagi
mengemudi bahtera rumahtangga agar apabila dilanda badai dan ombak bahtera
rumahtangga ini tetap utuh. Itulah sebabnya perbandingan yang sering dibuat
kepada pembinaan rumahtangga sebagai pembinaan sebuah masjid.
Meruntuhkan rumahtangga samalah seperti meruntuhkan sebuah
masjid. Meruntuhkan sebuah masjid mempunyai implikasi besar kepada umat Islam
kerana sebuah masjid yang makmur menggambarkan umat Islam yang bersatu dan
berteraskan kepada syariah Islam.
Kesimpulannya, seorang suami hendaklah menghargai apa yang
dilakukan oleh isterinya di dalam membentuk rumahtangga bahagia. Suami perlu
mengutamakan kebajikan keluarga berbanding dengan orang lain. Suami juga
bertanggungjawab mendidik isteri dengan cara yang dianjurkan oleh agama. Isteri
pula harus akur bahawa suami adalah ketua keluarga dan wajib mematuhi arahan
suami selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak.
Semangat dan falsafah hadis di atas sebenarnya telah diolah
kembali dan digubal di dalam Undang-Undang Keluarga Islam dan juga
Undang-Undang Jenayah Syariah. Undang-undang tersebut memperuntukkan
tanggungjawab dan peranan yang perlu dimainkan oleh suami isteri. Ia juga
menggariskan kesalahan-kesalahan yang boleh di hukum seperti mencuaikan isteri,
nusyuz, ingkar perintah mahkamah dan lain-lain. Namun undang-undang dan
mahkamah hendaklah dijadikan jalan terakhir penyelesaian kemelut rumahtangga.
Didikan dan kesedaran tentang hak dan tanggungjawab adalah lebih utama
berbanding aspek hukuman.
Oleh DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 09 September 2015
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 09 September 2015